Search

Sidang DUN: 2,000 laporan ketidakpatuhan syarikat konsesi jalan raya tahun lalu

April 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan lebih 2,000 Laporan Ketidakpatuhan (NCR) terhadap syarikat konsesi jalan raya berikutan kegagalan menepati skop penyelenggaraan jalan raya sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata laporan itu dibuat hasil pemantauan berterusan JKR dalam memastikan kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya dilaksanakan dengan baik.

“Setakat ini prestasi mereka (syarikat konsesi) adalah dalam keadaan yang memuaskan. Walaupun dalam keadaan yang dikatakan memuaskan, pada tahun lalu juga pihak JKR mengeluarkan Non Confirmance Report (NCR).

“Ertinya ada kerja-kerja yang dilakukan kurang menepati skop dan perlu diperbaiki semula sehingga NCR itu ditutup. Pada tahun lalu, 2,000 lebih NCR dikeluarkan dan berjaya ditutup.

“Pihak JKR akan terus memantau prestasi mereka (syarikat konsesi) dari semasa ke semasa,” katanya.

Menteri Kerja Raya negeri itu menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan (DUN) Sabah, hari ini.

Mohd Shafie meminta kerajaan negeri menyatakan prestasi perbelanjaan dan nama syarikat yang dilantik bagi penyelenggaraan jalan raya di seluruh Sabah.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, menekankan masalah jalan raya di Sabah ketika ini kebanyakannya berpunca daripada usianya yang sudah melepasi tempoh had reka bentuk.

“Perkembangan ekonomi yang dipacu hasil kemajuan dicapai kerajaan meningkatkan aktiviti ekonomi yang tinggi dan apabila sudah melepasi jangka hayat, jalan raya tidak dapat bertahan akibat aliran trafik yang bertambah, lebih-lebih lagi dengan bebanan lebihan muatan dan faktor cuaca.

“Inilah yang menimbulkan
cabaran, kerosakan yang dialami, ada jalan yang berlubang, kita melakukan kerja-kerja menampal tetapi bagi jalan melebihi jangka hayat yang strukturnya sudah terganggu, menampal bukan penyelesaian.

“Penyelesaiannya ialah kita kena buat ‘resurfacing atau rehabilitasi. Bagi jalan negeri, kerajaan negeri sudah mengambil inisiatif pertama iaitu membuat kerja rehabilitasi di empat jalan utama dan mungkin pada tahun depan ada lagi jalan negeri yang lain akan kita buat rehabilitasi,” katanya.

Terdahulu, Shahelmey berkata kerajaan negeri pada tahun ini memperuntukkan RM285 juta bagi melaksanakan pembaikan empat jalan utama negeri bermula pada Januari lalu.

Katanya, langkah itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi mengatasi kerosakan jalan raya negeri yang sudah melepasi jangka hayat reka bentuk dan tidak sesuai untuk sekadar penyelenggaraan rutin.

“Pada Januari lalu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan khas RM285 juta untuk pelaksanaan kerja pembaikan empat jalan utama menggunakan kaedah CIPR (Cold in-place pavement recycling).

“Empat jalan utama itu adalah Jalan Nangoh Paitan – Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan Langkon -Pitas dan Jalan Sapulut – Kalabakan.

“Peruntukan khas ini adalah untuk pelaksanaan kerja selama 18 bulan yang bermula pada awal Mac 2025 dan dijangka disiapkan pada hujung Ogos 2026,” katanya. – Info X