KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah menyifatkan rakyat Sabah berdepan ‘penyakit tiga serangkai’ yang menjejaskan kehidupan mereka sejak sekian lama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu merujuk penyakit berkenaan terhadap isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang dihadapi rakyat negeri ini.
Dakwanya, masalah itu sudah berlarutan selama 60 tahun, namun tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan negeri dan Ketua Menteri sudah ramai silih berganti mentadbir Sabah.
“Di Sabah ini ada penyakit tiga serangkai iaitu penyakit air, penyakit jalan raya dan penyakit elektrik.
“Sudah lebih 60 tahun kita merdeka tidak pernah selesai, tidak pandai dinoktahkan, kerajaan bertukar ganti, ketua menteri tukar ganti, itu juga.
“Jadi, sudah sampai masanya kita tamatkan perkara ini, yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang pastikan masalah ini selesai.
“Rakyat bukan mahu apa, mereka mahu air bersih sampai ke rumah, anak-anak dapat ke sekolah, klinik hospital untuk perempuan mahu bersalin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan Sabah oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau meminta kerajaan negeri menjelaskan status projek kilang simen yang dibina di Tongod yang didakwanya tidak dilaksanakan seperti yang dirancang kerajaan negeri.
“Saya dimaklumkan bahawa syarikat yang berkolaborasi dengan kerajaan negeri sudah mengundur diri, orang kampung kata ada aktiviti mengambil kayu balak. Jadi, saya mahu kerajaan jawab betulkah kilang simen itu tidak jadi,” katanya.
Bung Moktar berkata, beliau sendiri membantah pembinaan kilang berkenaan di Tongod berikutan lokasinya di tengah hutan yang tiada kemudahan jalan raya, air dan elektrik.
“Kilang simen yang sedia ada di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) pun mengalami kesukaran untuk bersaing, kenapa diwujudkan lagi kilang di tengah hutan,” katanya. – Info X