KOTA KINABALU: DAP Sabah menyifatkan kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebagai selaras dengan semangat Madani yang diamalkan Kerajaan Perpaduan Persekutuan.
Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe, bagaimanapun berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi di antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya.
Katanya, jika pertemuan secara tidak rasmi di antara tokoh politik, ia adalah perkara biasa.
“Saya mengambil maklum pengumuman yang dibuat Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berhubung kerjasama di antara BN dan PH pada PRN17.
“Ingin saya tegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya. Pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh-tokoh politik adalah perkara biasa.
“Walaubagaimanapun, DAP Sabah melihat perkara ini selaras dengan semangat Madani yang dipraktikkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri yang menjamin kestabilan politik sejak Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas pengumuman Bung Moktar selaku Pengerusi BN Sabah malam tadi mengenai kerjasama BN dan PH Sabah pada PRN17 nanti yang didakwanya sudah dimuktamadkan pihaknya.
Jin Zhe berkata, DAP Sabah sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti, asalkan kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan.
“Kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah dan bukan semata-mata demi menghadapi pilihan raya.
“Justeru itu, DAP Sabah bersedia untuk berbincang mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik,” katanya.
Katanya, DAP Sabah kekal berpendirian bahawa kestabilan politik selepas PRN17 adalah amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya.
Mengenai pendirian PH Sabah pula, beliau berkata perkara itu harus dibincang dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah dalam masa terdekat. – Info X