Search

Lelaki ugut ibu guna parang ditahan

April 15, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Hanya kerana tidak diberikan duit yang diminta, seorang lelaki sanggup mengugut ibunya sendiri dengan menggunakan sebilah parang dalam kejadian di kediaman mereka di Jalan Chester, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an mengugut untuk memukul ibunya menggunakan parang.

Tindakan agresif ini bukan kali pertama berlaku malah suspek sebelum ini turut menyebabkan kerosakan terhadap harta benda jiran.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada adik suspek, pada jam 12.06 tengah malam.

Katanya, susulan laporan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan.

“Suspek berjaya diberkas kira-kira jam 2 pagi semalam di kaki lima sebuah bangunan di sekitar bandar.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, media, hari ini.

Tambah beliau lagi, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Polis menyeru orang ramai supaya tidak berdiam diri sekiranya berlaku ancaman atau keganasan di kalangan keluarga.

“Laporkan segera kepada pihak polis supaya tindakan awal dapat diambil demi keselamatan semua pihak,” katanya. – Info X