Search

SDC inisiatif Tun Abdullah majukan ekonomi Sabah

April 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada negara, termasuk dalam pembangunan ekonomi.

Beliau berkata, menerusi inisiatif bekas Perdana Menteri kelima itu Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dilancarkan pada 2008 bagi membantu merancakkan perkembangan ekonomi Sabah untuk manfaat rakyat.

Katanya, SDC adalah antara lima koridor ekonomi Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tempoh Tun Abdullah mengetuai kepemimpinan negara antara 2003 hingga 2009.

“Antara objektif projek SDC ini adalah untuk menjadikan Sabah sebagai pintu masuk untuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan serta mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ia juga disasar menjadikan negeri ini lebih celik teknologi dan sebagai negeri yang selesa untuk didiami, harmoni tanpa mengira bangsa dan agama.

“Projek ini telah memberi banyak manfaat dalam pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, Tun Abdullah yang memimpin negara selama enam tahun itu juga adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai.

Hajiji menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun
Abdullah dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Tun Abdullah dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi. – Info X