Search

Sidang DUN: Aktifkan semula ADBS, bentang perbahasan di DUN

April 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan disaran mengaktifkan semula Ahli Dewan Belia Sabah (ADBS) dengan penjadualan sidang tahunan yang tetap sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan belia.

Menyuarakan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin, berkata hasil perbahasan ADBS juga harus dibentangkan secara rasmi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, pembentangan itu boleh dilihat sebagai satu laporan khas untuk diambil tindakan oleh pihak kementerian dan agensi yang berkaitan.

“Saya juga menyarankan penubuhan Sabah Youth Policy Action Hub, sebuah badan sekretariat tetap yang terdiri daripada wakil kerajaan, wakil ADBS, wakil persatuan belia dan akademik yang bertanggungjawab memantau, melaksana dan melaporkan perkembangan pelaksanaan idea yang dicadangkan ADBS.

“Ini juga boleh menjadi pusat kepada pembentukan dasar-dasar belia baharu Sabah dan melatih anak muda Sabah untuk menjadi pemimpin di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Ucapan Dasar Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Isnin.

Amisah juga mengesyorkan agar kerajaan negeri memperuntukkan dana khas bagi program latihan kepimpinan, pembangunan kemahiran, simulasi persidangan, penulisan dasar dan pendedahan antarabangsa bagi ADBS.

“Langkah-langkah seperti ini, kita tidak hanya melahirkan pemimpin yang mampu bercakap, tetapi juga yang benar-benar berkualiti, mampu merancang, melaksana dan menilai dasar untuk kebaikan negeri dan bermanfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, Amisah menyelar tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengenakan tarif ke atas sejumlah negara awal bulan ini yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi akibat berlaku tindak balas negara atau apa yang dikatakan sebagai Perang Tarif.

“Malaysia yang dikenakan tarif 24 peratus sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada rakyat mengenai kesan yang mungkin boleh berlaku.

“Meskipun dikatakan impaknya adalah kecil, namun sewajarnya kepimpinan negeri dan negara melaksanakan pelan tindakan bagi mengelak kesan buruk kepada ekonomi tempatan.

“Tarif berkenaan sedikit sebanyak akan menyebabkan permintaan produk keluaran Malaysia menurun apabila harganya meningkat di AS.

“Keadaan ini boleh mencetus impak domino iaitu apabila permintaan menurun, pengeluaran menurun, pendapatan syarikat pasti juga menurun dan akhirnya menyebabkan pembuangan pekerja, penutupan operasi kilang dan akhirnya pengangguran meningkat,” katanya.

Jelasnya, krisis ekonomi yang pernah dilalui sebelum ini tidak boleh dibiarkan berulang kerana ia bakal membawa banyak kesan negatif kepada rakyat.

“Mungkin kerajaan sudah boleh memulakan langkah untuk mencari negara-negara selain AS sebagai rakan dagangan bagi pasaran produk-produk yang terjejas seperti barangan elektronik dan elektronik.

“Selain itu, kita juga perlu memperkasakan lagi produk keluaran tempatan dan melaksanakan kempen pembelian barangan tempatan bagi memastikan produk yang ada mampu bertahan dengan pasaran dalam negara selain pasaran bagi negara-negara jiran,” katanya. – Info X