Search

Pak Lah sentiasa utamakan negara, rakyat meskipun pentadbirannya dilanda cabaran – TYT

April 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdulah Ahmad Badawi disifatkan sebagai seorang pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan kebajikan rakyat.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata sikap berkenaan antara kelebihan Perdana Menteri kelima itu walaupun pentadbirannya berdepan beberapa isu dan cabaran.

Beliau turut menyifatkan Tun Abdullah atau turut dikenali ramai sebagai Pak Lah seorang pemimpin yang lebih gemar menggunakan pendekatan diplomasi senyap berbanding perdebatan politik secara terbuka.

“Saya masih ingat ketika saya menjadi Ketua Menteri Sabah, beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan berjaya mencatat kemenangan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

“Walaupun pentadbiran beliau berdepan beberapa isu dan cabaran, beliau sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan kebajikan rakyat.

Tun Musa menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Pak Lah.

“Pak Lah ialah seorang pemimpin yang mudah didekati serta berwibawa dalam kepimpinannya, lebih gemar menggunakan pendekatan diplomasi senyap berbanding perdebatan politik secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pagi tadi, Musa adalah antara ribuan pemimpin dan rakyat dari seluruh negara memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

“Saya dan isteri merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga Allahyarham Tun atas kehilangan ini. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara,” katanya.

Bagi Musa, Pak Lah adalah seorang negarawan sejati yang mendedikasikan seluruh hidupnya berbakti kepada masyarakat dan usaha membina negara sebagai Perdana Menteri Kelima.

“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali. Semoga Allah SWT mengurniakan roh Allahyarham Tun tempat tertinggi di Jannat-ul-Firdaus,” katanya. – Info X