Search

Dua selamat, kereta terbabas sebelum terbakar

April 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua remaja nyaris maut apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di bulatan berhampiran Politeknik, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 18 tahun itu dilaporkan hanya mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.57 pagi.

Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang terbakar 90 peratus dan terdapat dua mangsa terbabit.

“Seorang mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam manakala seorang lagi mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hose reel daripada sumber air dari jentera dan api berjaya dikawal pada jam 3.30 pagi.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.59 pagi. – Info X