KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) menyasarkan untuk membantu 10,000 anak golongan B40 di negeri ini menerusi pembiayaan pengajian bagi melanjutkan pelajaran pada tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata bantuan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diterajui KYS itu termasuk kepada mereka yang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda dan Doktor Falsafah.
“Kumpulan Yayasan Sabah menerajui penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menyediakan dana pendidikan kepada anak-anak tempatan.
“Tahun lalu, kira-kira 8,000 anak Sabah yang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara dibantu di bawah TPNS membabitkan peruntukan sebanyak RM8 juta.
“Pada tahun ini TPNS menyasarkan untuk membantu lebih 10,000 penerima golongan B40, termasuk mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, sampai ke peringkat Sarjana Muda dan Doktor Falsafah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan oleh Yang di-Pertua Negeri ketika Persidangan DUN pada Selasa.
Ghulam berkata beliau mengalu-alukan langkah proaktif kerajaan memperkasa modal insan melalui pendidikan dan latihan di negeri ini seiring dengan teras utama agenda Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, pelaburan dalam pembangunan modal insan, khususnya melalui pendidikan dan kemahiran adalah langkah strategik ke arah melahirkan modal insan berkualiti, kompeten dan berdaya saing.
Jelasnya, Kumpulan Yayasan Sabah turut memainkan peranan sangat siginfikan dan menjadi peneraju dalam segmen pembangunan modal insan.
Selain TPNS, katanya, Kumpulan Yayasan Sabah turut membangunkan modal insan menerusi dua institusi pendidikannya iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).
Katanya, kedua-dua institusi itu menjadi platform bagi anak-anak tempatan Sabah untuk menimba ilmu dan menjadi insan gemilang. – Info X