KOTA KINABALU: Tiada sebarang lesen melombong, khususnya emas dikeluarkan kerajaan negeri dalam isu perlombongan mineral.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, setakat ini hanya lesen mencari gali atau ‘prospecting licence’ (PL) yang ada dikeluarkan.
“Kita tidak pernah hingga ke saat ini memberi lesen melombong kepada syarikat yang telah memohon, apa yang berlaku ialah satu permohonan mencari gali.
“Soalnya kenapa kita tidak bagi kepada kerajaan, saya ingin menjawab soalan itu,” katanya.
Perkara itu ditekankan Hajiji ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan DUN) yang berlarutan hingga kira-kira jam 8 malam ini.

Penjelasan itu selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) bertanya mengenai tanah seluas kira-kira 1,000 ekar di Nagos, Semporna yang didakwa diberi kepada pihak tertentu untuk aktiviti eksplorasi mineral.
Hajiji menjelaskan bahawa lesen mencari gali bukan pajakan melombong (Mining Lease) yang membenarkan pemegang lesen melakukan pengeluaran mineral.
Katanya, bagi pajakan melombong, segala kepentingan kerajaan seperti ekuiti, royalti, fi pajakan melombong dan lain-lain akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet negeri.
“Tapi, kita belum sampai ke tahap itu, kita belum pun mengeluarkan lesen melombong.
“Jadi, persoalannya di kawasan Nagos ini, keputusan untuk memberikan lesen mencari gali (PL) kepada syarikat swasta adalah berdasarkan kepada strategi kewangan yang kukuh dan pengurusan risiko yang bijak.
“Aktiviti penerokaan mineral adalah satu aktiviti yang rumit dari segi teknikal seperti geologi kawasan, jenis mineral, infrastruktur dan lain-lain yang memerlukan modal yang tinggi, dan berisiko tinggi.
“Ia memerlukan pelaburan awal yang besar tanpa sebarang jaminan pulangan,” katanya mengulas kenapa kerja eksplorasi itu tidak diberi kepada syarikat milik kerajaan.
Beliau berkata, langkah menyerahkan kerja eksplorasi itu kepada syarikat swasta dapat melindungi kerajaan negeri daripada liabiliti dan risiko kewangan.
Ia kerana, katanya semua kos penerokaan akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta yang memegang lesen mencari gali terbabit.
“Dengan memindahkan risiko ini kepada entiti swasta, kerajaan negeri dibebaskan daripada keperluan untuk melabur modal, mengurus operasi, atau menjalankan pemasaran dan jualan.
“Ini membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan dalam kerja-kerja pemantauan, pemeliharaan alam sekitar dan peningkatan kecairan untuk memastikan pulangan yang lebih tinggi,” katanya. – Info X