KOTA KINABALU: Kerajaan disaran mewujudkan agensi pembangunan wilayah bagi mempercepatkan rancangan pembangunan daerah di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata ketika ini pelaksanaan pembangunan bercelaru disebabkan koordinasi antara jabatan dan agensi kerajaan yang lambat meluluskan rancangan yang dibuat.
“Sebagai contoh permohonan tanah untuk dibangunkan sebagai sebuah Bandar Baharu di Sipitang di kawasan Marintaman sehingga kini tidak dapat direalisasikan disebabkan masalah koordinasi antara jabatan dalam membuat kelulusan tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Ucapan Dasar Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan DUN Sabah, di sini.
Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad itu berkata, rancangan mewujudkan bandar baharu di Sipitang itu bagi menampung pembangunan dari impak ekonomi Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Katanya, kedudukan pekan Sipitang yang sempit memerlukan sebuah bandar baharu diwujudkan, selain mengambil kira pertambahan penduduk apabila beberapa projek bermula di SOGIP dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Permohonan pembangunan kawasan baharu di tanah Majlis Daerah tetapi ditolak ke Jabatan Tanah dan Ukur kemudian ke Jabatan Hasil Bumi dan sehingga ini belum lagi ada kata putus.
“Perlu ada koordinasi antara jabatan dalam meluluskan rancangan pembangunan di daerah agar pelaksanaan dapat dipercepatkan,” katanya.
Beliau memberi contoh di Sarawak, pelaksanaan pembangunan sesebuah daerah dikoordinasi dengan baik menerusi Agensi Pembangunan Wilayah.
Agensi pembangunan wilayah itu, katanya boleh membuat keputusan sendiri dalam meluluskan rancangan pembangunan di peringkat daerah tanpa merujuk kepada banyak pihak.
Sementara itu, Dr Yusof mahu pegawai kerajaan khususnya berkaitan infrastruktur supaya kerap turun ke lapangan dan mengubah cara tindakan bagi memastikan masalah infrastruktur ditangani dengan baik.
Sebagai contoh, katanya, masalah air disebabkan paip pecah perlu dibaiki dalam tempoh 24 jam tetapi banyak berlaku kerja pembaikan dibuat lebih daripada 24 jam.
“Masalah dan keluhan rakyat ini perlu ditangani dengan segera. Rakyat tidak marah tetapi tidak mahu masalah dihadapi berlanjutan,” katanya.
Bagi bekalan elektrik, katanya penyelenggaran kabel yang ditutupi dahan pokok perlu diberi perhatian bagi mengelak gangguan bekalan elektrik di sesebuah kawasan.
“Pemerhatian saya di Sipitang banyak kabel dan tiang elektrik ditutupi dahan pokok,” katanya. – Info X