BEAUFORT: Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Beaufort-Menumbok, Kampung Nukahan, di sini, malam tadi.
Mangsa lelaki berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Penolong Penguasa Bomba Zulhalim Abidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 malam.
Katanya, sepasukan lima anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai bomba.

“Kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah kereta Perodua Viva. Motosikal dalam keadaan terbakar.
“Penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala pemandu Perodua Viva tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran motosikal menggunakan satu aliran dengan sumbar air jentera bomba.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 8.32 malam,” katanya. – Info X