Search

Pemilihan PKR: Christina tewas di KK, Mustapha pertahan Kota Belud

April 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, gagal mempertahankan kedudukan jawatan Ketua Cabang Kota Kinabalu dalam pemilihan PKR kali ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu kalah di tangan pencabarnya, Lee Li Mei yang mendapat 1,381 undi, berbanding Christina yang hanya meraih 1,157 undi.

Turut tewas ialah Setiausaha PKR Sabah, Sazalye Donol Abdullah, bagi pemilihan Ketua Cabang Kota Marudu yang menyaksikan beliau kalah di tangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaini Jatil.

Zaidi merampas jawatan Ketua Cabang Kota Marudu setelah meraih 1,031 undi berbanding Sazalye yang hanya mendapat 548 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Dua lagi pencabar iaitu Jolius Majawai mendapat 648 undi dan Jasmon Jaji dengan 182 undi daripada 2,405 kertas undi yang dikeluarkan bagi cabang berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berjaya mempertahankan Ketua Cabang Kota Belud dalam pertandingan tiga penjuru.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Sepanggar itu mendapat 1,405 undi berbanding pencabarnya, Madeli @ Modily Bangali yang mendapat 100 undi dan Azhrie Jenaim yang hanya menerima 67 undi.

Turut mempertahankan jawatan ialah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Peto Galim, bagi pemilihan Ketua Cabang Sepanggar.

Timbalan Pengerusi MPN Sabah yang juga ADUN Inanam itu mendapat 607 undi, menewaskan pencabarnya, Joseph Linggian @ Joseph Chong yang hanya mendapat 178 undi.

Bekas Pengerusi MPN Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam turut mempertahankan Ketua Cabang Keningau setelah mendapat 1,720 undi berbanding pencabarnya yang juga adiknya, Antakor Rasam yang hanya menerima 295 undi.

Sementara itu, di Pensiangan, Timbalan Ketua Wanita Keadilan Sabah yang juga isteri Sangkar, Datin Rufinah Pengeran merampas jawatan Ketua Cabang daripada anak saudara Sangkar, Raymond Ahuar.

Rufinah mendapat sokongan yang besar dengan 2,694 undi, berbanding Raymond yang hanya mendapat 823 undi dan seorang lagi pencabar, Danny Anthony Andipai dengan 81 undi.

Selain itu, Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin mempertahankan Ketua Cabang Tuaran setelah mendapat 352 undi menewaskan Hampry Luaran (170 undi) dan Abdul Ali Madtair (242 undi).

Di Putatan, bekas Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari turut menang dengan mendapat 684 undi, menewaskan pencabarnya, Tony Biki yang mendapat 296 undi. – Info X