Search

Pemimpin Sabah, Sarawak setuju kukuhkan kerjasama kembangkan warisan budaya Borneo

April 23, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Sabah dan Sarawak perlu mengukuhkan kerjasama dalam pelancongan kebudayaan bagi mengetengahkan warisan Borneo.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kedua-dua negeri mempunyai potensi yang kukuh bagi mempromosi Borneo sebagai destinasi pelancongan melalui laluan budaya, pertukaran lawatan dan tarikan berasaskan komuniti.

“Tagline Sarawak, ‘Gateaway to Borneo’, tapi lebih ideal kita mahu pelawat memasuki Sarawak dan mengakhiri pengembaraan mereka di Sabah.

“Fokus sepatutnya tertumpu kepada kesalinghubungan, bukan persaingan, dengan menyediakan tarikan berpakej merentasi kedua-dua negeri sebagai sebahagian daripada pengalaman Borneo,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika mengalu-alukan lawatan Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu di Kampung Kebudayaan, Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, pada Selasa.

Joniston dan Pairin mengiringi Gerald melawat Kampung Budaya KDCA.

Gerald mengetuai pemimpin komuniti dari Betong, Sarawak melawat ke Kampung Kebudayaan KDCA itu.

Hadir sama ialah Huguon Siou yang juga Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata kerajaan kedua-dua negeri perlu meneroka kerjasama tersusun dalam memelihara kebudayaan dan pembangunan komuniti menerusi program bersama dan inisiatif rentas sempadan.

“Wujud keperluan yang semakin meningkat untuk memperkasa komuniti kita menerusi warisan, bukan hanya memelihara budaya tetapi menjadikannya peluang ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau juga mencadangkan sokongan polisi untuk keusahawanan budaya dan belia dipandu inovasi yang berakar umbi dalam pengetahuan orang asal.

Sementara itu, berkongsi pandangan yang sama, Gerald berkata Sarawak terbuka untuk mengadakan kerjasama lebih erat, khususnya dalam penganjuran lawatan budaya dan libat urus belia.

“Sebagai negeri berjiran, kita seharusnya bekerja lebih rapat, budaya kita sama dan sudah tentu wajar diadakan lebih banyak pertukaran.

“Sebenarnya, saya suka menjemput KDCA untuk menyertai kita merayakan Pesta Cukyural pada Jun depan di kawasan saya,” katanya yanga juga ADUN Layar, Sarawak.

Katanya, beliau juga ada libat urus dengan pelajar Sabah di Sarawak, khususnya di UNIMAS, yang mana beliau menggalakkan mereka untuk menyertai acara budaya untuk mengekalkan warisan.

Dalam pada itu, Pairin berkata Sabah dan Sarawak berkongsi aspirasi yang sama dan atas sebab itu inisiatif yang boleh membawa dua negeri berjiran itu lebih dekat perlu digiatkan. – Info X