KOTA KINABALU: PKR Sabah meminta ahli dan pemimpin parti itu menghormati keputusan proses pemilihan peringkat cabang yang menyaksikan seramai lapan muka baharu dan 17 kepemimpinan sedia ada menang Ketua Cabang.
Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata jika ada bantahan, ia perlu dibuat mengikut saluran rasmi.
“Keadilan Sabah meminta semua anggota menghormati keputusan yang telah dibuat oleh anggota di samping proses bantahan yang perlu dibuat mengikut saluran rasmi parti jika ada.
“Keadilan Sabah perlu mula beralih kepada memperkukuhkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung antara dua hingga lima bulan mendatang.
“Pemilihan parti sepatutnya dijadikan ruang memperkukuh parti agar kepimpinan yang kuat dan diyakini anggota mampu memimpin cabang bagi menghadapi pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, perbalahan berpanjangan pasca pemilihan hanya akan menyebabkan perpecahan yang merugikan parti dan mengecewakan anggota yang mengharapkan kesatuan kukuh kepimpinan cabang dalam menghadapi pilihan raya.
Justeru, katanya semua kepimpinan cabang serta anggota perlu mengembeleng tenaga dan memantapkan jentera pilihan raya memandangkan masa yang ada sangat singkat.

“Kepimpinan cabang serta anggota diminta tidak memanjangkan perselisihan kerana fokus sesebuah parti politik adalah menang pilihan raya dan bukannya memimpin cabang semata-mata,” katanya. – Info X