Search

Jalan runtuhpun dipolitikkan – PBS Kiulu

April 23, 2025

Info X Reporters

KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) Kiulu kesal dengan sikap pemimpin pembangkang mempolitikkan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di KM2.45 Jalan Tamparuli – Kiulu, di sini.

Ketua Pemudanya, Rhodes Panilau, berkata tindakan menjadikan bencana alam itu sebagai modal politik adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, selaku wakil rakyat, ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai tidak pernah berdiam diri terhadap situasi itu, malah sentiasa mengambil langkah untuk menyelesaikan isu infrastruktur di kawasan ini.

Rhodes Panilau.

“Saya kesal kerana pihak pembangkang lebih gemar menuding jari tanpa mengambil kira usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Kiulu, Joluin Joiruh di portal Jesselton Times yang menuduh kononnya pemimpin DUN Kiulu dan agensi kerajaan tidak mengutamakan kepentingan rakyat Kiulu dan membiarkan jalan runtuh di KM2.45 Jalan Tamparuli – Kiulu begitu saja.

Rhodes mempersoalkan sama ada bakal calon Parti KDM Kiulu, Henry Soimpon pernah mendesak presiden partinya, Datuk Peter Anthony, untuk membina atau menaik taraf jalan berkenaan ketika Peter menjawat jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah pada 2018 hingga 2020.

“Masalah ini sudah ada sewaktu Presiden PKDM memegang jawatan penting sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas JKR lebih dua tahun,” katanya.

Katanya, beliau melihat sendiri komitmen Joniston untuk menyelesaikan isu itu dengan sentiasa berhubung serta mengadakan pertemuan bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Jurutera JKR Daerah Tuaran.

“Dua hari lalu (22/4/2025) Joniston bertemu dengan Pengarah JKR dan pada Mac lalu mengadakan sesi libat urus bersama Pejabat JKR Daerah Tuaran bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan masalah infrastruktur di kawasan Kiulu diberi perhatian serius.

“Saya sendiri juga turut bersama dalam beberapa sesi pertemuan dan libat urus ini,” katanya.

Rhodes berharap agar pihak pembangkang bersikap lebih rasional dan bekerjasama dalam menyelesaikan isu rakyat, bukan hanya menggunakan masalah itu sebagai alat untuk meraih simpati politik. – Info X