Search

Langgar lampu isyarat merah punca kemalangan maut

April 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kemalangan yang meragut nyawa dua sepupu di lampu isyarat persimpangan bertingkat Indah Permai, Sepanggar, di sini, semalam dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu yang terus memandu ketika lampu isyarat berwarna merah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, ia berdasarkan kenyataan saksi bebas mendapati apabila pemandu lori itu tiba di lokasi kejadian dipercayai melanggar lampu isyarat yang telah berwarna merah.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori dipandu seorang lelaki bersama dengan penumpang datang dari arah jalan perumahan Kastam/Tebobon dan hendak menuju ke arah Jalan Sepanggar.

“Siasatan lanjut yang dijalankan melalui saksi bebas mendapati apabila pemandu lori itu tiba di lokasi kejadian dipercayai telah melanggar lampu isyarat yang berwarna merah lalu melanggar sebuah motosikal yang ditunggang remaja lelaki.

“Ketika itu giliran motosikal untuk bergerak disebabkan lampu isyarat dalam keadaan hijau di laluannya dan mengakibatkan berlakunya perlanggaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpangnya terbabas dan melanggar tiang jejambat.

“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas manakala penunggang motosikal pula parah.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, Kasim berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa patuh kepada peraturan lalu lintas terutamanya di kawasan lampu isyarat serta bersabar di dalam pemanduan.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang terkorban iaitu pemandu lori, Sajuan Madri, 34, dan sepupunya iaitu kelindan, Eddie Hariz Zulfadzli, 18, dan kedua-dua dari Kampung Taun Gusi, Kota Belud.

Difahamkan, Eddie adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menunggu keputusan peperiksaan itu yang akan diumumkan hari ini. – Info X