KOTA KINABALU: Dibalut dengan kain batik dan diletakkan di dalam beg berwarna hijau. Itulah keadaan bayi lelaki yang ditinggalkan di tangga sebuah rumah di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, pagi tadi.
Kejadian jam 5.30 pagi itu disedari pemilik rumah berkenaan yang terdengar bunyi tangisan bayi malang itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan daripada ketua kampung yang memaklumkan menemui bayi diletakkan di dalam beg warga hijau di tangga rumah seorang penduduk.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.

“Hasil siasatan, kira-kira jam 5.30 pagi, seorang lelaki tempatan menemui sebuah beg warga hijau dan terdapat bayi lelaki dengan dibaluti kain batik.
“Orang awam kemudian membawa bayi ke beranda rumah sebelum menghubungi ketua kampung bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bayi lelaki cukup sifat dan baru dilahirkan berdasarkan bayi itu masih bertali pusat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
“Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil
membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengzahirkan penghargaan kepada penduduk kampung yang segera melaporkan kejadian itu serta mengingatkan bahawa pembuangan bayi adalah satu kesalahan jenayah yang serius dan tidak berperikemanusiaan.
“Polis menyeru masyarakat supaya sentiasa peka dan prihatin terhadap sebarang kejadian yang mencurigakan di persekitaraan masing-masing.
“Segera melaporkan kepada polis bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X