SANDAKAN: Ketika parti lain masih berselindung mengenai soal kerjasama dan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), Parti Impian Sabah (PIS) awal-awal lagi sudah mengumumkan calon dan pendirian bertanding solo.
Presidennya, Michel Alok, berkata tiada amalan lobi-melobi untuk menjadi calon PIS, sebaliknya ia diputuskan lebih awal dan mengumumkan calonnya di setiap kerusi.
Setakat ini, katanya sebanyak 60 kerusi sudah selesai diputuskan calon PIS yang akan bertanding pada PRN17, manakala baki 13 kerusi lagi akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Bila kita sudah tetapkan awal, maka dialah, dialah yang akan dicalonkan. Ini juga kelainan dalam Parti Impian Sabah, tidak ada istilah ‘last minute’, tidak ada istilah ‘lobby last minute’.
“Kita akan lebih awal keluarkan calon-calon ini dan tidak ada perubahan,” katanya pada majlis Aidilfitri PIS, di sini.
Katanya, parti itu juga kekal dengan pendiriannya untuk bergerak solo pada PRN17 nanti bagi mengelak kelewatan dalam membuat keputusan kerana perlu dibincangkan jika bergabung dengan parti lain.
“Ia supaya apa-apa keputusan yang diputuskan pada hari ini, esok kita laksanakan, tidak ada lagi pergaduhan, tidak ada pertengkaran dan sebagainya,” katanya.
Mengenai latar belakang calon PIS, beliau berkata mereka dipilih berdasarkan komitmen untuk berkhidmat dan bukan semata-mata melihat faktor usia atau profesionalisme.
Katanya, setakat ini parti itu juga mencalonkan empat wanita untuk membawa cabaran PIS pada pilihan raya itu nanti. – Info X