SOOK: Sebanyak 13 projek pembangunan bekalan air berimpak tinggi sudah dan sedang dilaksanakan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata isu yang berlaku sekarang bukan perkara baharu, namun kerajaan sentiasa berusaha untuk menangani dan menyelesaikannya.
Beliau berkata, antara projek tu ialah Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3, Pembinaan Loji Rawatan Air Kundasang, Pembinaan Loji Rawatan Air Baru Semporna, Skim Bekalan Air Lahad Datu Fasa 1 dan Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II.
“Sementara itu, projek penambahan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua di Papar juga giat dilaksanakan melibatkan kerja menaik taraf kapasiti daripada 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JLH yang dijangka siap pada 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis pada Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook di Perkarangan Bangunan Urusetia Daerah Sook, di sini, pada
Isnin.
Selain isu air, katanya bekalan elektrik juga dijadikan bahan oleh pihak pembangkang untuk menghentam kerajaan tanpa mengambil kira usaha yang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti tenaga di negeri ini.
“Pelbagai usaha dibuat termasuk melaksanakan Projek Hidroelektrik Ulu Padas yang bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW).
“Majlis Tenaga Sabah juga telah meluluskan hampir 1,000 MW tenaga elektrik yang akan dijana melalui beberapa projek penjanaan elektrik bagi meningkatkan keperluan tenaga di negeri ini.
“Projek berkenaan bukan saja untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, tetapi juga antara usaha penyelesaian jangka panjang yang mampan kepada negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata, lebih banyak lagi pembangunan akan dibawa ke negeri ini demi kesejahteraan dan keselesaan rakyatnya.
Jelasnya, bagi projek Lebuhraya Oan Borneo Sabah, setakat ini empat daripada 16 pakej Fasa 1A sudah disiapkan, manakala baki 12 pakej lagi sedang dalam pembinaan dengan status kemajuan sebanyak 81.7 peratus.
“Semua ini adalah antara inisiatif yang telah dan sedang kita laksanakan. Apa yang kita bawa ini tidak pernah dibuat sebelum ini.
“Lebih banyak lagi pembangunan yang akan dibawa ke negeri ini untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jika kita diberi mandat lagi,” katanya. – Info X