Search

Sabah catat pertumbuhan ekonomi positif – KM

April 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada RM83.2 bilion pada 2023, berbanding RM82.1 bilion pada 2022.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pertumbuhan itu selari dengan KDNK nasional yang diunjur meningkat sebanyak 2.5 peratus melalui Rangka Kerja Ekonomi Madani, penyusunan semula ekonomi Malaysia di bawah Belanjawan 2025.

Jelasnya, pencapaian itu menunjukkan momentum peningkatan berterusan dan perkembangan positif yang dicatat negeri ini hasil kerjasama pelbagai pihak dalam membangunkan ekonomi Sabah.

“Jika kita terus menyumbang tenaga secara positif melalui kerjasama yang erat, tidak mustahil untuk melaksanakan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTNg) di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Pada mesyuarat itu, Hajiji menggesa agensi berkaitan untuk memastikan semua inisiatif dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ dilaksanakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat.

Hajiji bersalaman dengan ahli Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTNg) ketika menghadiri mesyuarat di Menara Kinabalu.

Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), kerajaan negeri merangka Hala Tuju Pembangunan Strategik Negeri sebagai satu langkah proaktif untuk memacu ekonomi dan pembangunan Sabah bermula pada 2026 hingga 2030.

“Ia juga adalah kerangka awal yang mengambil kira keperluan dasar, ‘blueprint’ dan pelan pembangunan semasa.

“Pelbagai inisiatif akan diwujudkan merangkumi penerokaan inisiatif Ekonomi Biru selain setiap agenda pembangunan negeri di bawah RMKe-13,” katanya.

Hajiji berkata, walaupun pelbagai kejayaan melalui inisiatif Hala Tuju SMJ dan angka positif dari semua data yang dikeluarkan setakat ini, kerajaan negeri tidak berehat dan menjadi selesa dengan pencapaian itu.

“Kita mesti terus bekerja keras dan lebih proaktif. Semua kepemimpinan negeri, ketua jabatan dan peringkat daerah mesti lebih kerap turun padang untuk memantau pelaksanaan program atau projek yang sedang dilaksanakan.

“Ini penting untuk memastikan setiap program dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh. Pada tahun ini sebanyak 1,265 projek dan program mesti diselesaikan di Sabah.

“Semua agensi pelaksana mesti sentiasa memantau kemajuan semua projek ini dan memastikan ia diselesaikan mengikut jadual,” katanya.

Katanya, Sabah adalah antara penerima tertinggi dalam belanjawan nasional, dengan RM6.7 bilion diperuntukkan kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

Jelasnya, perkembangan itu membuktikan suara rakyat dan pemimpin Sabah didengari di peringkat persekutuan.

“Ia juga menunjukkan bahawa kita sangat serius dan akan berusaha untuk meningkatkan pembangunan negeri.

“Kita mesti melakukan perubahan paradigma untuk memastikan kejayaan semua rancangan kita. Kita perlu menanggalkan proses yang usang dan mengubah sikap negatif terhadap kejayaan dan sumbangan dibuat kepada negeri,” katanya. – Info X