KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas sebelum melanggar belakang sebuah kereta di laluan berhadapan Kompleks Mahkamah Syariah Sabah, Jalan Tun Fuad Stephen, Likas, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa Muhammad Nur Hilmi Hermanto, 25, iaitu Imam Muda, Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an datang dari arah Jalan UMS hendak menuju ke SK Likas.
“Setiba di lokasi kejadian dengan secara tiba-tiba seorang lelaki yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang tepi sebelah kanan kereta berkenaan.
“Akibat daripada itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas akibat parah di bahagian kepala manakala pemandu kereta tidak mengalami cedera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Kasim mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa patuh kepada peraturan lalu lintas serta memastikan pemanduan dalam jarak yang selamat diantara kenderaan. – Info X