KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) atau Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak mungkin meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkan pemimpinnya sebagai gabungan yang memenuhi aspirasi rakyat negeri itu.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata adalah tidak masuk akal untuk kedua-dua parti berkenaan menjauhkan diri daripada gabungan yang berasaskan parti tempatan Sabah.
Sambil menepis spekulasi berhubung dakwaan itu, beliau berkata sebagai parti yang sama-sama membentuk GRS, adalah lebih baik PBS dan STAR terus mempertahankan gabungan sedia ada berbanding membentuk pakatan baharu.
“Kenapa mahu meninggalkan sesuatu yang kita bantu membinanya hanya untuk membentuk pakatan dengan pihak lain yang sama tetapi tidak semestinya mempunyai misi dan visi sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PBS memberi maklum balas terhadap pendapat pemerhati politik yang berpandangan PBS dan STAR lebih baik berada dalam GRS berbanding di luar gabungan berkenaan.
Mengulas lanjut, Joniston berkata PBS dan STAR masing-masing konsisten dengan komitmen terhadap GRS dan bekerjasama menerusi perancangan strategik bersama, meluaskan pengaruh bagi mengukuhkan GRS dan kekal fokus terhadap pembangunan Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu berkata, spekulasi berkenaan berkemungkinan berpunca daripada rasa ingin tahu politik umum ketika Sabah semakin hampir dengan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
“Adalah normal apabila soalan seperti ini timbul tetapi realitinya tiada desakan dalaman untuk pemisahan, malah kita menggandakan lagi kerjasama sedia ada,” katanya.
Joniston berkata, adalah tidak produktif dari segi politik bagi mana-mana parti komponen untuk melepaskan diri daripada GRS, mempersoalkan logik penjajaran dengan pihak lain yang hanya mencerminkan gabungan dalam struktur.
Katanya, tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan GRS, termasuk parti pengasasnya seperti PBS dan STAR boleh menyelesaikan isu seperti infrastruktur luar bandar, pemerkasaan ekonomi dan pembangunan belia di negeri ini.
“Dengan landskap politik yang semakin hangat menjelang PRN17, semua orang sentiasa membuat spekulasi.
“Keutamaan ketika ini ialah untuk menyatukan mesej GRS, memastikan kesinambungan terhadap dasar kita dan membuktikan bahawa kita layak mendapat kepercayaan rakyat untuk diberikan satu lagi mandat,” katanya. – Info X