Search

Tahap sara diri beras Sabah disasar 30 hingga 60 peratus mulai 2026

May 1, 2025

Info X Reporters

TAMBUNAN: Kerajaan negeri menyasarkan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi dan beras tempatan kepada 30 peratus pada tahun depan dan 60 peratus pada 2029, berbanding 22.8 peratus ketika ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sasaran itu akan dicapai menerusi usaha membangunkan semula 22,146 hektar sawah padi terbiar di Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Tambunan.

Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi penghidupan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) pada tahun lalu.

“Ini akan membantu usaha Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri untuk meningkatkan SSL makanan Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus pada 2026 dan 60 peratus menjelang 2030,” katanya.

Hajiji menuang padi sebagai simbolik pelancaran Pesta Kaamatan 2025.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri, di Dewan Pisompuruan Pekan Tambunan, di sini, pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Huguon Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Sementara itu, Hajiji berkata program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (REPLB) yang dilancarkan semalam turut disasar sebagai usaha baharu meningkatkan lagi aktiviti pertanian di luar bandar Sabah.

Jelasnya, program itu juga selari dengan semangat Pesta Kaamatan dan menandakan keprihatinan mendalam Kerajaan Negeri terhadap golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar.

Hajiji bersalaman dengan orang ramai pada sambutan Pesta Kaamatan di Tambunan.

“Program ini dilancarkan sebagai langkah strategik untuk melonjakkan pengeluaran hasil pertanian demi memacu pertumbuhan ekonomi petani sara diri.

“Ia bukan saja bertujuan untuk meningkatkan hasil pertanian dan keselamatan makanan di Sabah khususnya dan Malaysia amnya, tetapi juga satu usaha untuk memartabatkan ekonomi rakyat luar bandar, memperkasa petani, nelayan dan usahawan tani agar mereka dapat berdikari, berinovasi dan menjana pendapatan yang mampan.

“Melalui penggunaan teknologi moden, sistem sokongan rantaian bekalan dan pembukaan peluang pasaran baharu, revolusi ini membuka jalan bagi komuniti luar bandar untuk bangkit sebagai pemain utama dalam ekonomi Sabah,” katanya.

Lebih penting lagi, Hajiji berkata pembangunan ekonomi luar bandar juga menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kestabilan sosial.

Sambutan Pesta Kaamatan tahun ini bertemakan ‘Kaamatan Untuk Semua’ atau ‘Kaamatan Montok Toinsanan’.

Hajiji menyifatkan perayaan itu bukan hanya milik satu komuniti tetapi satu perayaan bersama yang meyatukan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar
belakang.

“Kaamatan kini bukan hanya pesta menuai, ia menjadi lambang penyatuan rakyat, satu ruang untuk kita saling mengenali, menghormati dan meraikan keunikan budaya masing-masing,” katanya. – Info X