Search

22 sekolah tutup akibat banjir di Beaufort

May 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 22 sekolah termasuk dua sekolah menengah ditutup berikutan banjir di daerah Beaufort pada Isnin.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin, berkata jumlah itu dilaporkan setakat jam 1 tengah hari.

Katanya, penutupan itu disebabkan kawasan sekolah dilanda banjir, selain laluan perhubungan terputus akibat banjir menyukarkan murid dan pelajar ke sekolah.

“Kebanyakan ditutup kerana kawasan sekolah dilanda banjir, hanya ada empat sekolah yang ditutup disebabkan laluan terjejas akibat banjir,” katanya.

Empat sekolah terbabit katanya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kepawa, SK St John, SK Lajau dan SK Padas Damit.

Keadaan banjir di SK Pintas, Beaufort.

Sementara itu, 18 sekolah yang ditutup kerana kawasan dilanda banjir ialah SK Suasa, SK Klias Baru, SK Bangkalalak, SJKC Kung Ming, SK Kabajang, SK Kebulu, SK Luagan dan SK Mempagar.

Selebihnya ialah SMK St Paul, SK Lago, SK Batu 60, SMK ST John, SK Jabang dan SK Lupak, SK Biah Batu 65, SK Garama, SK Pintas dan SK Rancangan Klias.

Sementara itu, Raisin berkata, penutupan sekolah akibat banjir masih perlu diganti pada hari Sabtu mengikut jumlah hari ia ditutup.

“Hari yang murid tidak dapat hadir ke sekolah kerana banjir akan diganti pada hari Sabtu mengikut kesesuaian pihak sekolah,” katanya. – Info X