KENINGAU: Seorang pelajar perempuan menahan kesakitan kira-kira tujuh minit selepas kaki kirinya tersepit pada besi penutup longkang di sebuah sekolah menengah di Sook, di sini, hari ini.
Difahamkan, pelajar dan guru lain cuba membantu mengeluarkan kaki remaja perempuan berusia 17 tahun itu, namun gagal lalu meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook.
Ketua BBP Sook, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.47 petang.
Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan enam pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kaki kiri seorang remaja perempuan tersepit pada besi penutup longkang.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan ‘hydraulic power unit’ untuk mengeluarkan kaki mangsa dengan selamat dalam tempoh kira-kira tujuh minit,” ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa selamat dan diserahkan kepada ahli keluarganya.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi ditamatkan pada jam 5.03 petang,” katanya. – Info X