TAWAU: Hanya kerana rantai motosikal miliknya hilang, lelaki mengamuk dan mengugut untuk membunuh ahli keluarganya dalam kejadian di Felda Umas 4, Kalabakan, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, suspek warga tempatan berusia 30-an dikatakan turut mengacukan parang pada ahli keluarganya.
Ahli keluarganya yang berada dalam ketakutan memaklumkan kejadian itu kepada polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah bersama Polis Bantuan Felda berjaya menahan suspek di kawasan rumahnya kira-kira jam 8 malam pada hari sama.
“Polis turut merampas dua bilah parang yang digunakan ketika kejadian berkenaan.
“Hasil semakan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah. – Info X