KENINGAU: Wanita yang dilaporkan hilang di kebun getah di Kampung Johan Jaya, Sook, semalam ditemui selamat, pagi tadi.
Mangsa Saisah Sadiman, 50-an, ditemukan kira-kira 7.30 pagi oleh penduduk kampung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faizal Ahmad berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 100 meter dari kenderaan milik mangsa.
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada ahli keluarga.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Saisah dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun getah kira-kira jam 6 pagi semalam.
Mangsa dikatakan ke kebun getah untuk membersihkan kawasan kebun miliknya. – Info X