Search

PRN17: Kerjasama BN-PH keputusan yang rasional

May 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) – PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) adalah satu keputusan yang rasional.

Ketua parti komponen PH Sabah dalam kenyataan bersama hari ini, berkata gabungan itu juga terbuka untuk perbincangan dengan parti lain yang mendokong semangat perpaduan dan kerjasama membangunkan persekutuan.

“PH dan BN adalah gabungan tunjang kepada Kerajaan Persekutuan hari ini bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti yang lain.

“Ianya rasional untuk kedua-dua gabungan ini bekerjasama dalam pilihan raya termasuk terbuka untuk perbincangan dengan parti lain yang mendokong perpaduan dan kerjasama dalam membangunkan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Jelasnya, PH Sabah yakin kestabilan politik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah serta hubungan Persekutuan-Negeri yang harmoni dan baik perlu dikekalkan dan diperkasakan.

Katanya, ia bagi memastikan aspirasi penubuhan Persekutuan Malaysia dan masa depan rakyat Sabah dapat dijayakan.

“PH Sabah terbuka untuk memupuk perpaduan dan kerjasama dengan parti-parti lain dan berpandangan kerjasama parti politik ini haruslah berpandukan kepada membangunkan polisi-polisi yang berorientasikan kepentingan rakyat dan masa depan Sabah,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick selaku Pengerusi PH Sabah; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu. – Info X