Search

PRN17: GRS tanding solo jika BN-PH bergabung

May 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia bertanding solo jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah memuktamadkan keputusan untuk bekerjasama pada PRN17.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata GRS juga sedia memfokuskan kerjasama dengan parti tempatan lain yang sehaluan dengan gabungan itu.

Jelasnya, GRS tetap dengan pendirian mahu kerajaan negeri dipimpin parti tempatan selaku tonggak utama sebagai prinsip yang perlu dikekalkan sejajar kedudukan parti tempatan lebih memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti nasional.

“Jika keputusan muktamad PH dan BN bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.

“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata GRS memperjuangkan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah.

“Seperti yang sering saya tekankan, Kerajaan Negeri hari ini perlu terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan mewakili satu bentuk kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

“Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata GRS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan itu bagi menghadapi PRN yang akan datang.

Katanya, GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti yang membentuk kerajaan negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka. – Info X