PENAMPANG: Seorang wanita cedera dihempap dahan pokok dalam kejadian di Kampung Kibambangan, Putaton, Inobong, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang berusia 58 tahun mengalami kecederaan di pergelangan kaki kiri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zeno Tinggalan berkata, sebaik panggilan, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh sembilan kilometer bersama jentera.
“Berdasarkan maklumat pemanggil, sebatang kayu yang sudah rebah menggelongsor sebelum menghempap kaki kiri mangsa.
“Pihak bomba yang tiba di lokasi terpaksa berjalan kaki sejauh 500 meter menyusuri anak sungai untuk sampai ke tempat mangsa.
“Sebaik tiba, pasukan bomba memberi rawatan awal sebelum mangsa dibawa keluar menggunakan stretcher,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke hospital menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, operasi keseluruhan tamat sepenuhnya pada jam 11.21 pagi. – Info X