Search

PRN17: Soal kerjasama dengan GRS masih boleh bincang, kata Mustapha

May 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah masih menyimpan harapan agar ada perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meskipun pimpinan Pusat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata kerjasama dengan GRS selaku gabungan parti tempatan penting bagi mengelak pergeseran dan pertembungan yang tidak selari dengan amalan Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, beliau berharap agar ada perbincangan mengenai perkara itu di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor apabila kedua-dua pemimpin itu bertemu pada Program Madani Rakyat di Tawau, pada Ahad (11 Mei 2025).

“Sebenarnya Perdana Menteri akan datang ke Tawau besok dan saya fikir Ketua Menteri pun akan hadir sama, jadi kita harap akan ada perbincangan awal (mengenai kerjasama PRN17).

“Ini supaya hasrat kita dan Perdana Menteri dapat mengekalkan kesepaduan Kerajaan Perpaduan seperti di Pusat, jadi kalau boleh kita bawa ke peringkat negeri.

“Soal kerusi kita boleh berunding dan kita faham hasrat GRS yang mahu menjadi tunjang kepada kerajaan negeri, tapi itu kita boleh bincang.

“Apa yang penting jangan kita wujudkan pergeseran sehingga kita bertembung, jadi kita masih lagi membuka ruang untuk bekerjasama dengan GRS terutamanya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi ditemui selepas melancarkan Karnival Pendidikan, Kemahiran dan Kerjaya Borneo, di sini, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Sepanggar itu bagaimanapun akur jika GRS memutuskan untuk bergerak solo pada PRN17 nanti seperti dinyatakan Hajiji selaku Pengerusi GRS pada Jumaat.

“Ini politik, jadi kalau akhirnya mereka mahu bergerak solo itu terpulang kepada GRS dan kita bersedia dengan segala kemungkinan itu.

“Dalam politik itu biasa, kita cuba mengelakkan tapi kalau sudah berlaku pertembungan kita terpaksa berdepan. Jadi, terpulang kepada kepada rakyat Sabah membuat pilihan nanti,” katanya.

Mengenai kerjasama BN-PH, Mustapha berkata perkara itu memang sudah diputuskan di peringkat pimpinan tertinggi parti dan diturunkan ke peringkat bawah sebelum PH Sabah mengeluarkan kenyataan bersama.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama BN-PH sebagai refleksi tunjang parti komponen Kerajaan Madani Persekutuan yang mahu dibawa ke Sabah. – Info X