Search

PRN17: Gagasan Rakyat Petagas yakin GRS menang

May 11, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) walaupun bertanding secara solo.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit, berkata selaku parti komponen GRS, Gagasan Rakyat akan bekerja keras bagi memastikan GRS kembali memerintah negeri selepas PRN17.

Katanya, dengan acuan parti tempatan yang dibawa GRS, beliau percaya ia bakal mendapat sokongan baik daripada rakyat negeri ini.

“Saya percaya dengan acuan lokal ditunjangi GRS, ia dapat memberikan momentum dan mendapatkan sokongan daripada rakyat pada PRN17 nanti, insyaAllah.

“Saya yakin GRS mampu untuk memenangi PRN17 dan kembali memerintah selepas pilihan raya itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Tahunan Cawangan Berkelompok Gagasan Rakyat Petagas bagi PDM Bandar Putatan dan Ulu Putatan, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Isquzawan menyifatkan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Pengerusi GRS mengenai bertanding solo setelah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menyatakan kesepakatan untuk bekerjasama adalah sesuatu yang wajar.

Katanya, sebelum ini Hajiji secara konsisten mahu meneruskan kerjasama GRS-PH Plus yang ada sekarang, namun tindakan BN dan PH Pusat mengumumkan kesepakatan kerjasama mereka menyebabkan situasi semasa berubah.

Isquzawan bersama pemimpin Gagasan Rakyat Petagas.

“Seperti yang kita lihat, presiden kita dahulunya konsisten bahawa kita akan bergabung dalam pilihan raya ini iaitu GRS-PH Plus tetapi apabila baru-baru ini kenyataan dikeluarkan PH mahupun BN sendiri, maka Presiden mengumumkan bahawa GRS akan bergerak solo.

“Ini adalah satu cabaran yang kita kena sahuti kerana kita bersetuju dan yakin bahawa kerajaan pada hari ini haruslah ditunjangi oleh parti lokal iaitu GRS.

“Ianya selaras dengan realiti pencapaian dan kemahuan kehendak masyarakat orang Sabah itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebagai pemimpin GRS di Petagas, mereka menyahut cabaran untuk bertanding solo pada PRN17 nanti.

“Sudah sampai masanya untuk kita mengetengahkan parti lokal ini kerana kita percaya dengan acuan parti lokal ini kita dapat membentuk satu kerajaan yang begitu baik,” katanya.

Mengenai peluang GRS di Petagas, Isquzawan menyatakan keyakinannya terhadap usaha berterusan Gagasan Rakyat dan parti komponen lain menarik sokongan rakyat.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti lebih 6,000 pengundi putih daripada lebih 18,000 pemilih berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas.

Jelasnya, kira-kira 60 peratus pengundi di kawasan itu terdiri daripada orang muda. – Info X