LAHAD DATU: Tindakan sebuah bot kayu membawa barangan kawalan tanpa permit membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Batu, di sini, semalam.
Bot terbabit ditahan kira-kira jam 10.30 malam ketika APMM Zon Maritim Lahad Datu menjalankan rondaan menerusi Operasi Pluto Timur 2/2013 dan Operasi Tiris 3.0.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot kayu itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota APMM.

“Berlaku aksi kejar-mengejar selama hampir sepuluh minit sebelum bot berjaya dipintas. Pemeriksaan mendapati, terdapat dua lelaki warga Filipina berusia 41 dan 34 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri bersama seorang lagi pemastautin sementara berusia 41 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 17 tong cecair disyaki petrol dan 51 peket minyak masak satu kilogram dengan nilai anggaran keseluruhan mencecah RM80,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua kru dan barangan dirampas dibawa ke Jeti Maritim Felda Sahabat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan pasport yang sah, dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
“Orang ramai digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Info X