KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan perjuangan menuntut hak Sabah adalah satu tanggungjawab yang memerlukan kewarasan sejarah, kesatuan politik dan keberanian yang membina.
Beliau berkata, pemimpin di Sabah sepatutnya melihat sejarah perjuangan tokoh terdahulu seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang menggunakan pendekatan berhemah.
“Beliau tidak menegakkan hak Sabah dengan meniup api perpecahan. Sebaliknya, beliau mengangkat martabat Sabah dengan membina jambatan kepercayaan antara negeri ini dan Persekutuan.
“Inilah semangat yang diwariskan kepada kita, semangat yang matang, berpijak di bumi nyata dan tidak menjadikan slogan sebagai ganti penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia sebagai maklum balas terhadap kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang mempertahankan slogan Sabah untuk Sabahan sebagai pendirian yang sah untuk maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah Sabah.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut bahawa slogan Sabah Untuk Orang Sabah tidak seharusnya dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) kerana tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan.
Bung Moktar berkata suara Sabah di peringkat Persekutuan kini lebih dihormati, termasuk dalam perkara berkaitan hak perjawatan, peruntukan pembangunan dan pembabitan dalam dasar nasional.
Jelasnya, semua hak itu kini sedang dikembalikan secara berperingkat melalui rundingan dan diplomasi, tanpa sebarang tindakan melalui demonstrasi.
“Inilah pendekatan yang UMNO Sabah dukung, kerja senyap yang menghasilkan perubahan, bukan jeritan kuat yang hilang dalam angin politik.
“Ironinya, Dr Jeffrey yang hari ini mendakwa kononnya pejuang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dahulu ketika menjadi pembangkang banyak berjanji namun tiada yang menjadi.
“Retorik MA63 diulang setiap musim pilihan raya tetapi selepas menang, rakyat hanya disajikan alasan,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, slogan Sabah untuk Sabahan boleh menjadi semangat tetapi boleh berubah menjadi dinding pemisah apabila dijadikan alasan untuk menolak kerjasama Persekutuan.
“Kita tidak mahu Sabah terus menjadi mangsa percaturan slogan, sedangkan rakyat masih menagih air bersih, elektrik yang stabil dan peluang pekerjaan yang mampan.
“Rakyat Sabah hari ini semakin bijak, mereka menilai berdasarkan prestasi, bukan provokasi. Mereka mahu pembangunan, bukan perpecahan, mereka mahu kestabilan, bukan ketegangan yang dihidangkan demi kepentingan peribadi,” katanya.
Bung Moktar berkata, UMNO Sabah berpijak pada realiti dan berdiri teguh bersama rakyat tanpa memilih waktu untuk membela mereka. – Info X