Search

Remaja ditahan selepas aksi ‘wheelie’ tular

May 15, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang remaja lelaki memperlihat aksi berbahaya ketika menunggang motosikal dalam satu rakaman video yang tular mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu, kira-kira jam 11.30 malam.

Menurutnya, ia melibatkan sekumpulan penunggang motosikal yang sedang melakukan aktiviti lumba haram di Jalan Chong Thien Vun.

“Dalam rakaman itu, kelihatan seorang lelaki menunggang motosikal dengan laju sambil melakukan aksi ‘wheelie’ sebelum hilang kawalan dan melambung di tengah jalan.

“Akibat insiden itu, remaja terbabit mengalami kecederaan di kaki, buku lali dan tangan, dan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 17 tahun, pada jam 3 petang, semalam.

“Hasil tunjuk arah suspek, polis merampas sebuah motosikal dan sebuah topi dari sebuah rumah di Tanjung Batu Laut yang digunakan ketika kejadian.

“Siasatan lanjut turut mendapati remaja terbabit tidak memiliki lesen memandu dan motosikal yang digunakan adalah milik rakannya,” katanya.

Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu dengan melulu dan membahayakan), Seksyen 26(1) APJ 1987 (tidak memiliki lesen memandu), serta Seksyen 90(1) APJ 1987 (tidak dilindungi insurans).

Terdahulu, tular satu rakaman berdurasi sembilan saat yang dimuat naik di media sosial memaparkan seorang penunggang motosikal melakukan aksi ‘wheelie’ sebelum terbabas dan melambung di lokasi berkenaan. – Info X