KOTA KINABALU: DAP Sabah mengecam tindakan ahli dan pemimpin parti itu yang membuat keputusan meninggalkan parti ketika semakin hampir Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) untuk bertanding calon bebas.
Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin, menyifatkan tindakan itu amat dikesali memandangkan parti belum lagi memuktamadkan senarai calon yang bakal mewakili DAP nanti.
Beliau berkata, banyak perkara berkaitan PRN17 termasuk soal pemilihan calon yang bakal mewakili parti itu atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRN17 masih dalam perbincangan.
“Walaupun pilihan raya negeri semakin dekat, banyak perkara termasuk pemilihan calon belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan.
“Dalam tempoh kritikal ini, keputusan pemimpin tempatan tertentu keluar parti dengan harapan untuk bertanding sebagai calon bebas sangat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Semalam, seorang ahli DAP yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan, Cyril Liew dilapor keluar parti dan mengumumkan bertanding calon bebas di kerusi DUN berkenaan.
Tindakan pemimpin akar umbi DAP itu mengecewakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah kerana merasa dikhianati oleh orang kepercayaannya sendiri.
Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, berkata tindakan itu bukan saja memalukan, malah mendedahkan sikap kepura-puraan pemimpin terbabit dalam memberikan khidmat kepada rakyat.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya keputusan PPM Kapayan, Cyril Liew meninggalkan parti dan meletakkan dirinya sebagai seorang calon bebas.
“Saya percaya rakyat tidak akan menyokong tindakan oportunis (suka mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi) seperti itu yang didorong oleh manfaat politik,” katanya.
Sementara itu, Foong Hin berkata Sabah memerlukan parti politik yang benar-benar boleh melaksanakan penyampaian berpandukan keputusan dan berkemampuan untuk menyelesaikan apa saja perkara dan bukan hanya retorik emosi atau slogan politik.
Katanya, ia adalah syarat penting untuk mengubah Sabah menjadi negeri yang mengekalkan bakatnya dan menikmati infrastruktur yang dibangunkan dengan baik.
“Ini memerlukan sebuah parti dengan kemampuan untuk menyelaras dan menggerakkan pelbagai pihak berkepentingan, melaksanakan kuasa dan sumber yang diwakilkan kerajaan Persekutuan dengan berkesan dan mengekalkan hubungan rapat dan membina dengan Persekutuan untuk melaksanakan agenda pembangunan Sabah,” katanya.
Katanya, mesej itu disampaikan beliau ketika persidangan bersama tujuh cawangan DAP Kota Kinabalu dan Penampang serta DAPSY Putatan pada akhir minggu lalu.
Katanya DAP Sabah komited sepenuhnya dan bergerak aktif mempersiapkan parti bagi menghadapi PRN17. – Info X