Search

Projek tebatan banjir antara pembangunan berimpak besar di Penampang – Ewon

May 19, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Projek tebatan banjir kawasan Donggongon menjadi antara projek pembangunan berimpak besar yang dilaksanakan di daerah ini sejak 2023.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, projek itu sedang giat dilaksanakan membabitkan kerja mendalam dan membesarkan parit utama.

Katanya, projek penting itu berjalan rancak selepas tertangguh beberapa tahun bagi menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda kawasan rendah di sekitar Donggongon.

Ewon ketika berucap pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Penampang, di Buhavan Square, Penampang.

“Kita juga menambah baik tadbir urus pengurusan bencana banjir selepas berlaku banjir besar di Penampang pada tahun lalu.

“Selama ini, Penampang berhadapan dengan bencana banjir bertahun-tahun tetapi hanya mempunyai satu pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja.

“Pada ketika ini, kita telah mengenal pasti 21 bangunan awam yang boleh diwartakan sebagai PPS. Ini kerana tidak praktikal penduduk kampung yang jauh dari Pusat Kebudayaan seperti Sugud dan Kolopis dipindahkan ke sana ketika operasi menyelamat dan memindah mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Penampang, di Buhavan Square, di sini, pada Ahad.

Ewon berkata, projek menaik taraf jalan Terian-Buayan, pelaksanaan pembinaan Tamu Donggongon, pembinaan jambatan Babagon dan pelaksanaan penyukatan tanah Kampung Togudon di bawah Program PANTAS juga kini sedang rancak dilaksanakan.

Ewon menyempurnakan sambutan Kaamatan peringkat daerah Penampang.

“Pembinaan Tamu Donggongon yang tertangguh sejak bertahun-tahun kini telah dimulakan pelaksanaannya bulan lalu, susulan perbincangan dan lawatan tapak bersama Ketua Pengarah ICU, Jabatan Perdana Menteri pada Januari 2023 bagi memastikan projek ini dilaksanakan semula.

“Isu pemilikan tanah yang berpuluh tahun dihadapi oleh penduduk di perkampungan berkecerunan tinggi di Kampung Togudon kini sudah mendapat penyelesaiannya selepas kita melancarkan penyukatan tanah PANTAS tahun lalu.

“Penduduk Mukim Babagon yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada laluan low level crossing kini akan mendapat jambatan konkrit yang lebih selesa dan boleh digunakan setiap masa apabila projek yang dimulakan tahun lepas sudah siap sepenuhnya.

“Begitu juga dengan projek naik taraf jalan Terian-Buayan yang telah sekian lama diimpikan oleh penduduk di sana, kini sedang berjalan.

“Malah Majlis Daerah Penampang juga telah dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran pada tahun lalu,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata hasil inisiatifnya pelbagai kemudahan dan perkhidmatan agensi di bawah kementeriannya turut disediakan melalui pembukaan pejabat di Penampang.

“Di bawah KUSKOP, kita telah menaik taraf perkhidmatan Bank Rakyat Cawangan Penampang, kita juga membuka pejabat cawangan TEKUN Nasional Penampang, pejabat Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Sabah, pejabat SME Corp Sabah dan Hab PMKS di Penampang serta Live Hub Studio TikTok Shop di Penampang.

“Malah inisiatif-inisiatif baharu KUSKOP seperti Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus), Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, Projek Premis Tamu Desa, Program Sejati MADANI Koperasi dan juga geran Tunas Usahawan Belia (TUBE) juga telah memberi manfaat kepada usahawan-usahawan dan koperasi-koperasi di daerah Penampang.

“Dalam tempoh dua tahun setengah, sejak saya diberi tanggungjawab besar menjadi wakil rakyat di Penampang, kita sendiri dapat melihat aktiviti pembangunan yang sedang rancak berlangsung sekarang, bukan hanya pembangunan infrastruktur tetapi juga pembangunan ekonomi,” katanya. – Info X