Search

PRN17: Warisan tolak gabungan, kekal tanding solo – Loretto

May 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan tetap dengan pendirian menolak sebarang gabungan dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua, berkata Warisan tetap bertanding secara solo dan kini parti itu giat membuat persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan.

Beliau menyangkal dakwaan mengatakan Warisan bakal menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau membuat rundingan di belakang tabir bagi membentuk gabungan.

“Kami akan bertanding secara bersendirian dengan menggunakan logo parti sendiri. Kami tidak bersama mana-mana gabungan politik.

“Khabar angin yang mendakwa Warisan akan menyertai GRS atau membuat rundingan di belakang tabir adalah tidak benar. Itu semua adalah pembohongan yang sengaja disebarkan di media sosial untuk mengelirukan rakyat.

“Pendirian kami jelas iaitu gabungan Warisan ialah bersama rakyat. Kami tidak akan terbabit dalam permainan politik yang sedang berlaku, perjuangan kami adalah demi hak dan masa depan rakyat Sabah,” katanya.

Jelasnya, cerita mengenai rundingan belakang tabir sengaja dicipta untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar seperti kenaikan kos sara hidup, masalah bekalan air dan elektrik, peluang pekerjaan serta hak kawalan yang adil terhadap sumber negeri.

Beliau juga kesal apabila institusi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah turut dikaitkan dalam khabar angin politik negeri itu.

“TYT adalah institusi yang bebas daripada politik dan mesti dihormati. Jangan sesekali menjadikan TYT sebagai alat untuk meraih keuntungan politik.

“Saya menyeru rakyat Sabah agar kekal fokus dan tidak mudah terpedaya,” katanya.

Loretto berkata, pilihan raya kali ini adalah mengenai memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang untuk Sabah dan bukan hanya pandai bermain politik.

Beliau menekankan bahawa Warisan sejak awal lagi konsisten dengan kedudukan sebagai satu-satunya parti pembangkang di Sabah.

“Gabungan bukan jawapannya kerana masa depan negeri ini memerlukan satu gerakan yang tegas dan berteraskan rakyat.

“Kami akan terus bersama rakyat dan bukan bersama elit politik,” katanya. – Info X