Search

Warga emas hilang di kebun sawit ditemui selamat

May 21, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Warga emas yang dilaporkan hilang apabila gagal dikesan selepas keluar daripada rumahnya di Felda Sahabat 5, Kampung Desa Kencana, di sini, semalam ditemui selamat pagi tadi.

Mangsa Rosmini Iskandar, 75, ditemui dalam keadaan selamat oleh ahli keluarganya pada jam 11.40 pagi.

Terdahulu, mangsa disedari hilang di kawasan kebun sawit kira-kira jam 1 petang semalam.

Usaha ahli keluarga dan penduduk kampung mencari di kawasan sekitar turut gagal sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 malam.

Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, operasi mencari mangsa dijalankan bersama polis dan anak mangsa di kawasan terakhir mangsa dilihat iaitu 200 meter dari kawasan rumah.

“Bagaimanapun, operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada jam 1.33 pagi dan disambung semula pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pencarian hari kedua dimulakan pada jam 6.12 pagi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“Radius pencarian 200 meter bermula dari lokasi mangsa terakhir dilihat di kebun sawit.

“Mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan selamat oleh ahli keluarganya pada jarak 300 meter dari rumah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada ahli keluarga untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya. – Info X