Search

Tindakan terhadap pemandu henti kereta di tepi jalan

May 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis akan mengambil tindakan terhadap pemandu yang menghentikan kenderaan di tepi jalan hingga menghalang lalu lintas di laluan bertingkat Aeropod dan Pantai Tanjung Aru, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, menghentikan kenderaan di laluan berkenaan adalah satu kesalahan.

“Sebenarnya tidak dibenarkan mereka ini berada di sana (laluan bertingkat Aeropod) untuk ‘healing’ dengan menghentikan kenderaan tepi jalan hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Kita tidak dibenarkan dan tindakan akan ambil selepas ini. Tiada lagi pengusiran dan tindakan saman akan dilakukan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Kasim berkata, begitu juga dengan pengunjung-pengunjung di Pantai Tanjung Aru untuk melihat matahari terbenam.

“Polis nasihatkan pengunjung-pengunjung di Pantai Tanjung Aru supaya mereka tidak parkir di tepi-tepi jalan di Pantai Tanjung Aru.

“Kita minta pengunjung supaya meletakkan kenderaan di kawasan parkir yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan menempatkan anggota-anggota trafik di dua kawasan berkenaan terutama pada hari cuti bagi mengelak berlaku kesesakan teruk.

“Kita ingatkan lagi kepada pengunjung-pengunjung tiada lagi pengusiran tetapi tindakan saman akan dikenakan kepada pengunjung yang meletakkan kenderaan di tepi laluan bertingkat Aeropod dan Pantai Tanjung Aru,” katanya. – Info X