Search

PRN17: GRS perlu dikekalkan demi kesinambungan usaha atasi isu

May 25, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ada sekarang perlu dikekalkan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bagi memastikan kesinambungan usaha yang sedang dilaksanakan dalam mengatasi pelbagai isu dihadapi rakyat.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Razali Razi, berkata kerajaan tidak menafikan masih ada isu yang belum diselesaikan, namun usaha sedang dilaksanakan bagi mengatasinya.

Beliau turut mengakui isu yang dihadapi itu dijadikan topik yang sering dibangkitkan parti lawan sejak kebelakangan ini, namun menegaskan kerajaan tidak berdiam diri dalam perkara yang membabitkan kepentingan rakyat.

“Memang kita mengakui perkara itu, kita tidak menafikannya, memang ada. Tapi, apa yang kita lihat, kerajaan mengambil tindakan. Bukan kita tidak mengambil tindakan dan kita tahu masalah-masalah ini memang wujud.

“Tapi, kalau kita lihat banyak perkara yang telah kerajaan buat. Tapi benda ini, orang cakap bukan dalam tempoh beberapa bulan boleh selesai, ia ada perancangan jangka pendek dan panjang.

“Jadi, apa yang kita perlukan ialah kestabilan. Kerajaan ada perancangan, jadi kita perlu kekalkan momentum itu,” katanya ditemui pada program Jelajah Darau D’Hati dan Majlis Penyerahan Watikah JKKK bagi kawaaan DUN Darau, di Kampung Warisan, Inanam pada Ahad.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap tindakan parti lawan yang membangkitkan pelbagai isu seperti air yang dihadapi rakyat, khususnya di sekitar Parlimen Sepanggar.

Katanya, menukar kerajaan tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi, sebaliknya melambatkan lagi proses mengatasi masalah berikutan perubahan dasar kerajaan baharu.

“Kalau kita kerap menukar kerajaan, pentadbiran akan datang akan membuat dasar yang baharu, jadi dasar yang sedia ada ditukar atau dipinda.

“Jadi, kesannya nanti akan ditanggung rakyat. Sebab itu kita perlukan kesinambungan kerana kesinambungan usaha kerajaan itu sangat penting,” katanya.

Atas sebab itu, katanya kerajaan GRS perlu dikekalkan bagi memastikan masalah yang dihadapi rakyat yang kini sedang ditangani dapat diselesaikan sepenuhnya.

Katanya, GRS mampu mengatasi masalah yang dihadapi di negeri ini kerana ia mempunyai hala tuju yang ditulis dan didokumentasi dengan jelas, bukan hanya diungkapkan. – Info X