Search

Tragedi pulang majlis kahwin, dua sepupu maut kenderaan jatuh gaung

May 29, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Perjalanan pulang tiga sepupu dari menghadiri majlis perkahwinan, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut, manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas lalu terjatuh ke gaung di Jalan Penampang – Tambunan, dekat Kampung Moyog, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, pemandu Steve Oyong, 54, dan penumpang Rayner Jentolmin@Condrad, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Maxwell Minor, 29, dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Madsiang, di sini, selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Tambunan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Penguasa Bomba, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.15 malam.

Pasukan bomba menjalankan operasi membawa naik semua mangsa selepas kenderaan dinaiki terjatuh ke dalam gaung di Jalan Penampang – Tambunan, dekat Kampung Moyog, Penampang.

Katanya, seramai sembilan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 28 kilometer dari balai bomba.

“Sebaik tiba di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan Isuzu Bighorn terbabas sendiri lalu terjatuh dalam gaung.

“Pasukan bomba bertindak menaikkan semua mangsa yang berada di gaung,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke hospital bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, pasukan EMRS bertindak memberi rawatan awal kepada seorang mangsa yang cedera dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

“Dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.37 malam,” katanya. – Info X