Search

PM jumpa pemimpin PH Sabah malam ini, rasmi Kaamatan esok

May 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melakukan lawatan kerja dua hari ke Sabah bermula malam ini.

Beliau dijadual tiba dari Kuala Lumpur dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada kira-kira jam 9.20 malam ini.

Sejurus tiba, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah, dipercayai berkaitan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Esok, beliau dijadual merasmikan sambutan Kaamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang.

Perdana Menteri dijadual tiba di Hongkod Koisaan pada kira-kira jam 8 pagi sebelum dijangka meninggalkan majlis pada jam 9.30 pagi bagi menghadiri program seterusnya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Di SICC, Perdana Menteri dijadual melancarkan projek ESTEEL Enterprise Sabah Sdn Bhd Fasa 1, sebuah pelaburan baharu yang bakal dibangunkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Kedua-dua program turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sejurus selesai program berkenaan, Perdana Menteri dijadual ke Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang bagi menunaikan solat Jumaat sebelum berlepas pulang ke ibu negara pada kira-kira jam 1.45 tengah hari. – Info X