Search

Saya tiada masalah beri keutamaan hasil seperti di Sarawak kepada Sabah – PM

May 30, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tiada masalah untuk memberi keutamaan hasil kepada Sabah termasuk berkaitan minyak dan gas yang dituntut negeri ini.

Perdana Menteri berkata, seperti Sarawak yang mendapat hasil menerusi rundingan di antara PETRONAS dan PETROS, Sabah juga boleh mendapat manfaat yang sama.

Katanya, walaupun rundingan mengambil masa, ia tetap berjalan tanpa menjejaskan kepentingan nasional dan kepentingan Sarawak.

“Berapa lama di antara Petronas dan Petros? Saya runding, akhirnya minta pegawai-pegawai runding, menteri-menteri runding, sampai kepada saya dan Premier Abang Johari, kita selesaikan dengan baik.

“Jaga kepentingan nasional, kepentingan Persekutuan, PDA 74. Jaga kepentingan Petros, kepentingan Sarawak. Jadi itulah harmoninya yang dibuat.

“Ia tidak menghalang orang yang tuntut seolah-olah satu negeri itu merdeka, tidak. Kita nak cari penyelesaian, bukan populariti jalanan. Ini kena ingat.

“Jadi contoh itu, boleh dimanfaatkan di Sabah. Saya tidak ada masalah. Mengapa beri kepada Sarawak dan belum lagi kepada Sabah, kita runding.

“Saya tidak ada masalah sama sekali untuk memberi laluan hasil dan keutamaan hasil seperti mana berlaku di Sarawak untuk negeri Sabah, termasuk minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan rundingan ini, bukan disebabkan jeritan maki hamun yang dibuat mana-mana pihak.

“Menang jerit di luar, tidak menang untuk membela nasib rakyat. Saya cadangkan biar menang dengan Kerajaan Negeri dan bekerjasama dengan Persekutuan supaya hasilnya sampai kepada ke bawah,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menjelaskan ketika beliau membicarakan soal-soal besar, isu asas rakyat tidak akan diabaikan.

“Soal api (elektrik), soal air, soal sekolah, soal klinik, soal jalan, soal kemiskinan tegar masih menjadi isu di Sabah.

“Saya cadangkan supaya sementara kita boleh menegur dan mengkritik, kita juga lihat kemajuan-kemajuan dicapai dalam beberapa tahun kebelakangan sejak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji, saya dan rakan-rakan di Persekutuan, berapa jumlah kita? Berapa yang kita lakukan? Supaya boleh kita patahkan hujah.

“Saya beritahu di sini tahun lalu, kita kena jaga. Ini bukan soal kerana ada pilihan raya. Ini soal tanggungjawab kita.

“Mana-mana negara tanggungjawab kita pertama, jaga keharmonian kita. Jadi apa sahaja yang perlu bawa rundingan dengan baik. Bila hubungan negeri dengan Persekutuan yang mampu kita tunaikan, kita tunaikan,” katanya.

Bagaimanapun, rakan pimoinan dan rakyat di Sabah perlu memahami bahawa kerajaan juga ada keterbatasan.

“Bukan semua soal Sabah saja, dia ada Kelantan, dia ada Terengganu, dia ada Sarawak yang harus kita tunaikan. Ada kaitan bila kita selesaikan masalah yang genting,” katanya. – Info X