Search

Pempengaruh ditipu ‘personal shopper’ babitkan kerugian RM246,611

May 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pempengaruh media dan usahawan, Ojen Aiwah mendakwa kerugian kira-kira RM246,611 apabila ditipu seorang wanita yang menawarkan khidmat sebagai ‘pembeli peribadi’ atau personal shopper (PS) yang membuat pembayaran menggunakan resit palsu.

Kejadian itu disedari semalam, selepas pekerjanya memaklumkan terdapat beberapa transaksi pembayaran untuk membeli Kunafa di gerai miliknya mencurigakan oleh seorang personal shopper.

Beliau kemudian membuat semakan akaun dan mendapati tiada kemasukan wang dalam akaun dan dipercayai resit pembelian adalah palsu.

Menurut perkongsian usahawan terbabit di Instagram semalam, beliau ditipu oleh salah seorang yang membuat personal shopper bagi jualannya iaitu Kunafa Aiwahhh sebanyak hampir suku juta.

“Setakat hari ini (semalam) wanita Sabahan berumur 35 tahun ini telah ‘scammed’ sebanyak RM246,611 menggunakan resit palsu. Salah laku menukar dan mengedit resit palsu (Cimb&Maybank) scam melalui pemindahan dalam talian.

“Wanita ini terlalu licik dan bijak, resit palsu itu memang sebiji resit sebenar tarikh, masa, minit dan jumlah pembelian semua sama.

“Rupa-rupanya, dia (PS) adalah bekas pekerja di sebuah bank di Sabah dan sudah dibuang,” katanya.

Katanya lagi, resit yang terkumpul sebanyak 200 keping dan semuanya sah palsu.

“Dia (PS) guna aplikasi untuk edit semua resit. Selama lapan bulan dia dah buat kerja ini. Allahuakbar Subhanallah, terus terang semalam saya dah hilang sabar sebab saya dan staf penat berniaga.

“Nak patah tulang belakang bakar Kunafa namun saya pasti Allah akan banti, Allah akan bagi lebih lagi, ada hikmahnya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak akan lepaskan wanita ini sewenang-wenangnya dan pastikan dia meringkuk dalam penjara dan tidak dapat lagi meneruskan modus operandi.

“Saya tak nak peniaga atau lebih ramai orang lain lagi terkena nasib yang sama. Saya tunggu sehingga beliau bayar duit saya sedikit pada hari Selasa ini berjumlah RM64,000 kalau tak dapat, saya teruskan viralkan muka pula.

“Setakat semalam, dia dah lunaskan RM69,300. At this moment saya dan tak heran pasal duit dah. Yang penting saya nak dia ke lokap dan kena bagi pengajaran.

“Kalau saya tak take action, berapa ramai lagi yang akan jadi mangsa,” katanya.

Difahamkan, beliau membawa wanita itu ke Balai Polis Kota Kinabalu, semalam dan membuat laporan polis.

Wanita terbabit ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. – Info X