TAWAU: Seorang lelaki tergamak memukul bapanya dengan menggunakan sebatang kayu hingga parah dalam kejadian di Kampung Pitas, Bombalai, di sini, pagi tadi.
Kejadian jam 9.15 pagi itu, suspek berusia 23 tahun bertindak memukul bapanya yang berusia 60-an tanpa sebab hingga parah di muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan, polis dari Balai Bombalai berjaya menahan suspek kurang dua jam di kawasan perumahan pekerja di sekitar kawasan berkenaan.
“Ketika tangkapan hendak dilakukan, suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.
“Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu ditahan mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Jasmin mengingatkan orang ramai supaya peka terhadap Kesihatan mental dan kawaln emosi dalam kalangan keluarga serta dapat menyelesaikan permasalahan dalam kalangan keluarga secara matang. – Info X