KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyifatkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak layak bercakap mengenai soal kesetiaan dan keikhlasan.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Kinabatangan itu menunjukkan keangkuhannya selain jauh menyimpang daripada realiti sebenar politik Sabah.
“Bung Moktar adalah orang terakhir yang seharusnya bercakap soal kesetiaan dan keikhlasan. Dia cuba untuk menjatuhkan kerajaan yang beliau sendiri adalah sebahagian daripadanya semata-mata untuk mencapai cita-cita politiknya.
“Perkara itu sudah cukup banyak untuk menjelaskan siapa dia yang sebenarnya,” katanya dalam satu kenyataan sebagai maklum balas terhadap dakwaan UMNO Sabah yang menuduh GRS mengkhianati kerjasama dengan UMNO – Barisan Nasional (BN).
Joniston menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai satu cubaan jelas untuk mengubah naratif sebenar dan mengalihkannya daripada tindakan yang pernah beliau lakukan.
“Bung Moktarlah yang berkonspirasi dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) pada Januari 2023 untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Dia tidak dikhianati, sebaliknya beliaulah yang mengkhianati. Malah, ketika masih dalam Kabinet negeri, dia tidak menghormati rakannya dalam kerajaan negeri yang diketuai Hajiji sebagai Ketua Menteri,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu, berkata GRS tidak pernah bergantung kepada UMNO dan sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) secara bersendirian.
Katanya, Bung Moktar perlu menghentikan keangkuhannya dengan menyindir seolah-olah GRS begitu sukar untuk bekerjasama dengan UMNO-BN.
Joniston turut menjelaskan bahawa ketika krisis politik Sabah dua tahun lalu, beberapa ADUN UMNO enggan menyokong gerakan diketuai Bung Moktar, sebaliknya menyokong di belakang Hajiji bersama-sama Pakatan Harapan (PH).
“Jika ada yang perlu bermuhasabah, dia ialah Bung Moktar. Kenapa rakan sendiri meninggalkan Langkah Kinabalu yang dia buat.
“Kenapa PH menyokong Hajiji, bukan Bung Moktar? Jawapannya jelas iaitu kerana tiada kepercayaan terhadap Bung Moktar,” katanya.
Sementara itu, Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata partinya tidak akan lupa penghinaan Bung Moktar dengan melabelkan PBS sebagai ‘melukut di tepi gantang’ sebelum ini.
“Dia tidak menunjukkan rasa hormat terhadap PBS atau parti sekutunya dan sekarang mahu kerjasama pula?
“Jangan terkejut jika rakyat Sabah terus menolak UMNO seperti yang mereka lakukan di negeri lain di Semenanjung.
“Sabah bukan talian hayat politik UMNO. Jangan anggap negeri ini seperti pelan sandaran kamu,” katanya.
Di pihak GRS, katanya tumpuan gabungan itu adalah untuk mengukuhkan perpaduan, kestabilan dan melaksanakan penyampaian kepada rakyat. – Info X