Search

Bot pukat tunda ditahan tangkap ikan dekat pantai, 6 warga Indonesia ditahan

June 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Enam lelaki warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, susulan menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan.

Tekong bersama lima kru warga Indonesia ditahan ketika pihaknya menjalankan rondaan rutin dengan bantuan sistem pemantauan dari Stesen Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah, Isnin lalu.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Khairulanuar Abd Majid@ Razali berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan terbabit beroperasi kira-kira satu batu nautika barat laut dari Tanjung Tembungo.

“Ketika ditahan, ia sedang menunda pukat secara haram dan dikendalikan oleh seorang juragan bersama lima kru, semuanya warga Indonesia.

“Semua kru bersama muatan ikan campur seberat satu tan ditahan. Nilai rampasan termasuk hasil tangkapan dan bot dianggarkan berjumlah RM45,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ikan campur seberat satu tan turut dirampas.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang dilarang.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan kaedah tunda tepi dalam lingkungan kurang tiga batu nautika bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam ekosistem marin. – Info X