Search

Lelaki warga asing ditahan miliki senjata api buatan sendiri

June 4, 2025

Info X Reporters

KALABAKAN: Seorang lelaki ditahan kerana memiliki selaras senjata api buatan sendiri dalam satu serbuan di kawasan Felda Tengah 2, di sini, semalam.

Suspek warga asing berusia sekitar 39 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Kalabakan, hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika pemeriksaan fizikal dijalankan ke atas suspek, polis tidak menemui sebarang barang salah.

“Bagaimanapun, hasil soal siasat awal mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut dengan bantuan pandu arah daripada suspek membawa kepada penemuan selaras senapang angin buatan sendiri yang disorokkan di dalam rumahnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, senjata terbabit dipercayai digunakan untuk tujuan tertentu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif serta kemungkinan penglibatan suspek dalam aktiviti jenayah lain.

“Suspek ditahan bagi tujuan pencegahan jenayah dan keselamatan, selain senjata berkenaan turut dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

“Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memiliki atau menyimpan senjata api secara haram, kerana ia boleh mengancam keselamatan awam.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki kewujudan senjata api atau kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing,” katanya. – Info X